Monday, April 21, 2014

In A Memory, Mama : Part 1

Sabtu - 20hb April 2013

“Mama… Mama kena makanlah sikit, nanti kan nak makan ubat.” Kataku melalui telefon kepada Mama. Mama tak lalu makan. Mama dimasukkan ke Hospital Machang kerana mengalami demam dan sesak nafas. Tekanan darah Mama juga rendah. Dan harini adalah hari kedua Mama di hospital. Mama sekadar mengiyakan kata-kataku dengan lemah. Aku tahu, Mama mengangguk-angguk kepalanya.

“Tak selera pun makanlah sikit Ma, dua tiga sudu pun cukuplah, dah makan ubat nanti boleh lah ..”

“Lev yu” Mama mencelah.

Bebelan aku terus mati disitu. “Lev yu too Ma” balasku tersenyum. ……………..




Ahad - 21hb April 2013


10.30 pagi

Aku di dalam bas dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Whatsapp Kacik malam tadi mendorong aku untuk pulang ke kampung. Kacik adalah adikku yang tinggal dengan Mama sejak Abah meninggal dunia. Kacik dan Adik (adikku yang bongsu baru lepas dapat result SPM) serta Mok (ibu kepada Mama, nenek kami) bergilir menjaga Mama di hospital. Oleh sebab Kacik mempunyai anak kecil, Adik lah yang banyak menemani Mama.

“Sedih tengok Mama tadi, duk beraduhh je, memang bukan macam Mama yang selalu”.

“Mama cakap sakit beranak pun tak ada sakit sampai macam ni”.

Aku membacanya berulang kali.

Aku whatsapp Kacik untuk bertanyakannya perkembangan Mama. Turun naik demam Mama. Mama asyik nak cabut oksigen, tak selesa. Disebabkan itu, kedua tangan Mama kena ikat. Ya Allah, kenapa sampai kena ikat. Sakit jiwa hati perasaan aku membayangkannya.



Dalam jam 12.30 tengahari

Mama dipindahkan ke Hospital Kuala Krai. Katanya untuk Brain CT Scan. Terfikir sekejap aku, kenapa sampai perlu discan otak? Apa-apapun aku berharap sangat-sangat dalam hati semoga apa yang doktor ikhtiarkan dapat menyembuhkan Mama semula


Kira-kira jam 1.30 tengahari

Kacik memberitahu mereka sudah berada di hospital Kuala Krai. CT Scan masih tak boleh dibuat lagi kerana condition Mama tiba-tiba tak stabil. 4-5 orang doktor datang kerumun Mama. Aku dah tak sedap hati. Kacik menyuruh aku berdoa banyak-banyak supaya condition Mama kembali stabil. Dalam hati aku tak putus-putus berdoa. Aku nak tengok Mama depan mata sendiri, Mama senyum Mama ketawa Mama bercakap riang.


Sejam kemudian, Kacik beritahu yang Mama berada dalam keadaan kritikal. Aku call Kacik. Kedengaran suara dia yang sangat susah hati. Aku terus berdoa akan tetapi aku dah terbayangkan perkara yang tak patut. Situasi ini sama seperti situasi Abah dahulu. Ah, aku buang fikiran itu jauh-jauh. Aku tak suka.


Kira-kira jam 4 petang, Kacik mengatakan condition Mama sudah stabil. Setelah doktor masukkan darah, tekanan darah Mama naik cantik. Alhamdulillah. Syukurnya aku. Lega. Aku berkira-kira dalam sejam lagi aku akan sampai ke Kuala Krai, tempat di mana Mama berada. Tak sabar aku nak menjaga Mama, menatap wajah Mama. Bas seperti lambat pula hendak sampai ke destinasiku.



4.20 petang

Kacik menelefonku. “Din, Mama dah takde dah…” suara Kacik tenggelam timbul dalam esak tangisnya.

“Innalillahiwa innailaihirojioun. Okay Cik, sabar ye” jawabku juga dalam suara putus-putus.

Ya Allah. Otak aku kosong. Perasaan yang sama aku rasai seperti mula-mula mendengar berita ketiadaan Abah dahulu. Aku memandang ke luar tingkap. Hujan yang turun dari tadi masih renyai. Pokok-pokok sawit ku lihat berlalu laju. Tanpa sedar mata aku bergenang, air mata aku jatuh setitik dua. Hati aku sudah sedikit kuat disebabkan pernah merasai keperitan ketiadaan Abah dahulu. Berulang kali al-Fatihah dibaca untuk Mama. 
Sayu…



5.00 petang 

Aku sampai di Kuala Krai. Kacik dan Apih (suami Kacik) serta anak-anaknya menyambut kedatangan aku lalu membawaku ke hospital. Sampai sahaja di hospital, aku terus ke wad di mana Mama ditempatkan. Di pintu masuk, aku terjumpa Adik. Terus Adik datang memelukku. Aku peluk Adik, rapat. Aku lihat mata Adik bengkak. Sungguh tabahnya diri Adik yang mampu berada di sisi Mama sehingga Mama menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Terus aku bergerak ke katil Mama, tubuh Mama kulihat sudah ditutup dengan selimut. Ada ibu mertua kakak serta dua tiga orang yang aku tak berapa ingat, sedang membaca yaasin di sisi katil. Aku menyelak selimut bahagian muka Mama, yea itu Mama. Mama kelihatan seperti sedang tidur, sangat tenang. Tanganku merasa dahinya, sejuk. Jariku diletakkan pada hidung Mama, tiada hembusan nafas. Jelas, aku masih mahu memastikan sendiri keadaan Mama. Aku bacakan yaasin sementara menunggu doktor mengkafankan Mama untuk dibawa balik ke rumah..


Setelah Kacik selesai menguruskan borang-borang untuk mengeluarkan Mama dari wad, aku menyorong troli untuk membawa Mama ke van jenazah. Dengan bantuan petugas hospital, jenazah Mama selamat dimasukkan ke dalam van. Aku dan Adik menaiki van jenazah, duduk di sebelah jenazah Mama. Sayu hatiku mengenangkan ketika Abah meninggal, Mama yang duduk di bahagian belakang van bersebelahan jenazah Abah. Kini, aku pula yang duduk di bahagian belakang van menemani jenazah Mama.


Aku memalingkan muka ke arah luar tingkap van, hujan masih renyai. Sesekali mencuri pandang jenazah Mama, aku sayu. Tidak semena-mena, air mata aku melimpah. Aku menangis, banyak. Aku sudah tak mampu tahan. Satu-persatu kenangan bersama Mama datang menjelma. Senyuman Mama, tawa Mama, kata-kata nasihat Mama, semuanya mula menjajah pemikiranku. Air mataku semakin banyak, menangis seperti budak kecil…… Tangisan aku hanya berhenti setelah van sampai di rumah Mok (ibu kepada Mama, nenek kami), kira-kira 45 minit perjalanan.


Setelah jenazah Mama diletakkan di suatu sudut, disalinkan kain kafan Mama dengan kain batik, selimut. Tetamu-tetamu yang hadir mula membaca yaasin disekeliling Mama. Aku kadang-kadang terlupa, mencari-cari Mama di mana kerana selalunya jika ada sesuatu keramaian, Mama lah yang paling sibuk di dapur dan melayan orang. Tetapi ini adalah keramaian untuk Mama…..


Kakak sampai dari Perlis kira-kira jam 9.45malam. Kakak peluk aku rapat. Pelukan kesedihan. Aku bisikkan kepada Kakak, Mama nampak macam sedang senyum. Ejah pula sampai kira-kira jam 11 malam. Seorang demi seorang memeluk Ejah. Dia paling sedih. Dia baru sahaja menghabiskan cutinya di kampung untuk bersama Mama minggu lepas dalam keadaan Mama yang sihat, hari ini Mama sudah tiada.


Aku sangat penat malam itu, hampir tidur kemudiannya rakanku Masitah (ibubapanya juga sudah meninggal dunia), menyuruhku agar jangan tidur. Berjaga, membaca yaasin dan menemani jenazah Mama sepanjang malam itu. Dia tidak mahu aku menyesal di kemudian hari. Lalu aku dan adik beradikku bergilir-gilir membaca yaasin hingga ke pagi. Terima kasih Masitah.



Isnin – 22hb April 2013


Pagi itu, saudara-mara dan rakan Mama ramai datang melawat. Aku dan beberapa orang mengangkat jenazah Mama ke tempat pemandian. Kakak dan adik-adikku (aku anak lelaki tunggal) serta beberapa orang lama memandikan Mama. Ketika proses pemandian, aku hanya melihat adik-beradikku tenang memandikan Mama.


Selesai memandikan jenazah Mama, aku sekali lagi bersama beberapa orang mengangkat jenazah Mama ke sudut untuk dikafankan. Aku turut membantu mengkafankan Mama. Hanya bahagian muka Mama sahaja tidak ditutup. Hampir selesai, aku terus masuk ke dalam bilik. Aku tahu, itu adalah waktu untuk melihat wajah Mama, untuk kali terakhir. Aku biarkan adik beradikku dulu yang pergi mencium Mama. Aku hanya mententeramkan diri-sendiri untuk elakkan rasa sedih.


Sampai giliran aku, aku memandang wajah Mama yang tenang. Ya Allah, Mama sangat cantik. Wajah inilah yang tak pernah puas aku tatap sejak dari kecil. Aku cium dahi Mama, sejuk. Cium pipi hidung dagu, muka Mama aku cium banyak-banyak. Aku peluk Mama dan lagakan pipi kiri-kanan (trademark kami anak beranak apabila hendak berpisah) dan cium dahi Mama, lama. Mataku mula berkaca,  lantas aku berjalan laju masuk ke bilik, menangis semahu-mahunya…..


Setelah selesai solat jenazah, jenazah Mama dibawa ke tanah perkuburan. Aku, Apih (suami Kacik) dan Abe Yus (suami kakak) masuk ke liang lahad untuk menyambut jenazah Mama. Cahaya matahari pagi itu tidak terasa panas dengan aku hanya mengosongkan fikiran bagi menyelesaikan pengkebumian Mama. Dengan bantuan saudara dan orang kampung, jenazah Mama selamat dikebumikan kira-kira jam 11.00 pagi. Talqin dibaca. Aku melihat adik-beradikku. Fikiran aku jauh menerawang memikirkan kehidupan tanpa Mama di sisi kami adik-beradik.


Kami adik-beradik kini bergelar yatim-piatu. Kami bersyukur kerana Allah telah ambil Mama dan Abah dalam keadaan yang sangat baik. Tidak perlu menderita kesakitan dengan lama. Allah tidak akan memberi ujian melebihi kemampuan hamba-hambaNya. Kami redha ya Allah. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.


Mama, wanita pertama dan selamanya aku cintai

Mama, wanita yang tak tahu bagaimana untuk menyakitkan hati orang

Mama, wanita yang tak tahu bagaimana hendak membenci orang

Mama, wanita yang tak tahu bagaimana untuk merasai perasaan penat.

Mama, wanita yang tak tahu bagaimana untuk mengawal air matanya

Mama, wanita yang penuh dengan kasih sayang.


Mama, kami hanya mampu menjaga Mama setakat ini sahaja.


Ijen rindu Mama, Ijen sangat sayang Mama.




Nawal binti Mohd Nor
13.12.1959 – 21.4.2013

Al-Fatihah

           
  

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails