Thursday, September 24, 2015

In Memory, Abah : Part 7

Setiap kali tiba hari raya, tak kisah Aidilfitri atau Aidiladha, jauh di sudut hati bergetar kencang tatkala mendengar alunan takbir raya. Air mata bagaikan terlalu murah untuk menonjolkan dirinya kepada dunia. Lemah.



ya, cerita disebaliknya adalah arwah Abah, Wan Ismail bin Wan Yusoff, seorang yang dikurniakan Allah s.w.t dengan suara yang merdu, mengalunkan takbir raya dengan indahnya ketika hayatnya. 

Sejak aku kecil, sudah menjadi satu kemestian bahawa Abah akan menjadi salah seorang yang akan mengalunkan takbir raya di surau di kampungku. Kelunakan suara Abah bagaikan tiada tandingan bagiku.

Tanpa perlu paksa, meneran suara, Allahu Akbarullahu Akbarullahu Akbar, dialun dengan indahnya. Alunannya pasti bisa membuatkan orang lain tertarik dan terikut-ikut untuk turut mengalunkannya sama. Aku juga sama.

Sejak kecil sehingga aku dewasa, tidak terlepas mendengar alunan takbir Abah. Sehinggalah Abah kembali menemui Penciptanya pada tahun 2010, raya tidak kurasakan seperti raya kerana tiada alunan takbir dari Abah. Sampai begitu sekali.



Aku kagum dengan Abah. Seorang yang serba boleh dalam agama. Dia lah Imam, Dia lah Bilal. Suara lunaknya mengimamkan solat, melaungkan azan, mengalunkan takbir dan bacaan al-quran sangat sangat sangat menjadi dambaanku.

Aku? Jauh sekali... terlalu jauh untuk mencapai tahap Abah. Bagiku, aku belum layak untuk menyentuh kakinya sekalipun. Sungguh aku menyesal kerana tidak belajar semua benda dari Abah ketika diberi kesempatan dahulu. MasyaAllah.



Aku bangga menjadi anak Abah. Sangat-sangat bersyukur dilahirkan sebagai anaknya. Alhamdulillah ya Allah kerana memberi kesempatan kepada kami adik-beradik untuk mengenali insan yang bernama Wan Ismail bin Wan Yusoff. 

Kami sangat menyayangi Abah namun Allah s.w.t lebih menyayanginya.

Semoga Abah tenang di sana di sisi Allah s.w.t.

Al-Fatihah.


Salam Aidiladha.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails