Friday, April 30, 2010

Pok Nik

hari keempat arwah abah meninggalkan kami....

mama ada berpesan pada seorang kenalan abah, nama panggilannya poknik untuk tolong membacakan tahlil di kubur abah pada setiap pagi.... dan pada hari ini, poknik datang ke rumah kami pada awal pagi kira-kira jam 7 untuk mengajak aku pergi bersamanya...

dengan aku yang belum mandi, baru selesai solat subuh.. (subuh gajah mu rupenye jay!).... aku mencapai kopiah abah dan buku panduan tahlil keluar menuju ke poknik... poknik menunggu bersama motor honda lampu bulatnya... sampai dekat poknik, dia senyum melihat aku... "naik muto poknik jah la" katanya... aku mengangguk perlahan dan terus memboncengnya...

poknik agak berumur... agakku dalam lingkungan 75-80 tahun... namun dia masih gagah untuk pergi ke sana ke mari di dalam kampung, dia juga still mengerjakan padi! kadangkala aku perasan tangan tuanya menggigil-gigil mengawal motornya ketika turun dan naik bukit... maybe aku ni berat sangat kot... menyusahkan orang je kau jay... teruk..

sampai di kawasan perkuburan, aku terus mencari tikar dan menghamparkannya di dean kubur abah... dulu kawasan kubur ni tempat yang paling menakutkan aku, sekarang dah terbalik.. maybe sebab aku selalu boleh 'jumpa' abah kat sini... kami memulakan bacaan tahlil, poknik mengetuai aku... maklumlah, aku ni jahil sikit... bacaan tak berapa lancar... masa kecil abah ajar mengaji aku nangis... lepas tu berhenti terus... padan muka kau jay!

selesai tahlil, aku membuang semua daun kering dan ranting yang berselerak atas kubur abah... tiba-tiba poknik berkata, "hubungan ayah dan anak ni sangat rapat... rapat sampai tiada boleh halang kecuali Allah swt... bagi ayah yang sudah meninggal dunia, doa anak-anaknya Allah akan sampaikan terus kepada rohnya.. walau si anak menyebut bismillah dalam keadaan tidak sengaja atau tanpa niat, pun Allah akan sampaikan kepada si ayah... apatah lagi kalau dibaca yasin, ayat suci al-quran dengan niat untuk si ayah.. maka berganda-ganda lah rahmat Allah kepada roh si ayah"..... aku terkedu... baru sekarang aku tahu benda ni... aku ingatkan kena baca yasin or tahlil semata-mata baru boleh tenangkan roh orang yang sudah meninggal... jahil sungguh kau jay!!!

malam ke tujuh tahlil abah, poknik menemuiku sebelum dia pulang ke rumah... "anak ni, esok dah nak balik ke kuala lumpur kan? tak apalah, doa kat mana-mana pun sama... kubur tu nanti poknik pergi la selalu tolong bacakan tahlil.. benda yang poknik boleh buat, poknik tolong buat" katanya sambil tersenyum...

terima kasih banyak poknik... banyak yang aku belajar dari poknik sepanjang 4 hari bersamanya ke kubur abah awal-awal pagi... dia seorang yang sangat berpengalaman, selalu bercerita, sangat tak lokek ilmu.... hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas budi baik poknik....:)


Moral Of The Story - belajar dari yang berpelajaran


Monday, April 26, 2010

In Memory, Abah : Part 2

ni lagu abah.. tak sangka ada dalam youtube.. aku sangat sedih dengar lagu nih... mengalir laju air mata aku... aku dapat bayangkan abah nyanyi untuk anak-anak dia...

dulu, bila ada lagu ni dekat radio, abah akan nyanyi.... bila abah cakap lagu ni dia yang nyanyi, tiap-tiap kali lagu ni keluar dekat radio kitorang akan kuatkan volume sampai abah senyum-senyum malu... bila abah happy dia akan nyanyi lagu ni... mama pun kadang-kadang tergila-gilakan lagu nih... kitorang adik beradik memang akan suka bila dengar lagu nih...

lagu ni didaftarkan dengan tajuk kelohan dara dan dinyanyikan oleh wan salman... tapi abah pernah cakap yang lagu ni dia yang nyanyi... maybe sebab zaman dulu recording data semua tak tersusun sangat... tapi bila dengar-dengar balik, memang suara abah... dah suruh abah pergi claim, dia tak nak... dalam badan abah ada darah seni... aku tak hairan if lagu ni memang lagu abah.. sebab abah memang aktif menyanyi masa dia muda-muda dulu...

video

lagu ni selalu ada dalam radio Klasik Nasional...


abah, ijen sangat rindu abah.... nak dengar abah nyanyi lagu ni lagi....T_T


Moral Of The Story - ingat kenangan gembira bersama yang tersayang

Sunday, April 25, 2010

Bingung!

entah kenapa...

sehingga saat aku menaip entry ni, kepalaku terasa penuh.. terasa seperti ada suatu beban yang bergelumang di dalam otak kecilku.... puas aku memikirkan apakah beban itu, tapi aku tak dapat cari jawapannya...

sejak kembali ke kl dari kampung, aku telah cuba menjadi jay @ wan faizin yang seperti semua orang kenali... aku senyum-senyum, aku gelak-gelak, aku gurau-gurau, aku kutuk-kutuk... aku rasa aku dah buat semua itu... tapi itu hanya pada pandangan aku, pada orang lain aku tak macam tu... ketua kelas aku, suzana pernah tegur tentang aku yang sejak balik dari kampung aku dah berubah, tak macam dulu... dia cakap aku dah macam orang lain...

kepala otak aku sekarang kadang-kadang tak nak berfungsi... aku ada banyak assignment yang perlu dibuat... apabila aku bukak microsoft word untuk start buat assignment, dalam beberapa minit aku akan menutupnya semula... entah kenapa, tumpuanku hilang... aku tiada fokus untuk membuat assignment,... assignment aku sekarang semuanya dah lepas dari due date yang sepatutnya... aku dah cuba untuk fokus, sangat-sangat cuba.... tapi fikiranku melayang entah ke mana...

aku dah tak fikir sangat pasal arwah abah... aku tak teringat pun pasal arwah abah masa aku gurau-gurau dengan member-member... aku tak teringat pun pasal arwah abah masa aku nak start buat assignment.... tapi serius aku jadi seperti bingung, blank, blur, tak tahu apa yang aku kena buat... tak boleh nak concetrate langsung,..

secara logik, adakah ini kesan sampingan dari ketiadaan arwah abah.. bagi aku, ya.... adik-adik aku pun sama seperti aku, banyak benda yang tak dapat dibuat, maybe kakak aku pun sama... memang kami akui serius sangat merindui abah... tapi bukanlah kami menggunakan masa selama 24jam sehari fikirkan pasal arwah abah....

entah bila beban yang tak diketahui namanya ini akan hilang dari otak fikiran aku... aku sangat ingin menghilangkannya... aku nak siapkan assignment supaya boleh pulang bercuti di kampung cepat, bersama mama tersayang... aku nak luangkan banyak masa dengan mama.... aku nak pergi kubur abah... nak menenangkan fikiran di sisi mama....

bukannya aku tak nak fikir pasal arwah abah... aku sangat rindu abah, aku sangat sayang abah... aku tak nak abah pergi terlalu awal... tapi aku redha... ini ketentuan Allah swt... abah lebih disayangiNya.... aku selalu menangis bila terkenangkan abah... aku selalu tengok enset tunggu call dari abah macam biasa, aku selalu harap yang abah akan mesej tanya pasal duit aku cukup ke tak, sihat ke tak... dan untuk balik cuti ni pun aku selalu fikir yang abah akan menjemput aku di pasar kok lanas (tempat aku turun bas ekspress)... aku akan rindu suasana itu....

aku harap aku dapat atasi masalah 'beban' ni... mungkin disebabkan masih baru lagi abah meninggal, kesan sampingannya memberi efek ke dalam minda aku...

apa pun, abah ijen sangat sayang abah.... sangat-sangat sayang abah.........

p/s: bila terkenang balik, masa abah sakit hari tu abah pernah suruh aku kahwin bulan 4..... sekarang, ijen paham maksud abah......................:'(

Moral Of The Story - ................................................!

Monday, April 12, 2010

In Memory, Abah : Part 1

selasa, 6hb April 2010..

jam 6.00 pagi

baru sampai rumah dari KL. tapi duduk kat rumah apih (adik ipar) sebab rumah aku dah lama tiada penghuni (sebab mama jaga abah kat hospital). lepas solat subuh, aku lelapkan mata jap. sekadar hilangkan letih sepanjang perjalanan dari KL ke Kelantan. mama suruh melawat abah kat hospital waktu melawat pukul 1 tengahari nanti. so, aku buat taik mata la kejap...

jam 12.00 tengahari

"din, din! bangun ah.. kate nak pergi melawat abah.." kacik kejutkan aku dari tido. bingkas aku bangun dan meminjam tuala kacik. "mama kol tadi, badan abah dah menggigil-gigil dah" kata kacik dengan nada risau.. "yeke? ok, aku mandi jap" balasku sambil timbul pelbagai andaian dalam kepala. kerisauan terhadap keadaan abah semakin menebal. aku teruskan rutin mandianku. macam biasa, agak lama....

jam 12.30 tengahari

aku bersiap. mengenakan tshirt lengan panjang berwarna biru dan satu-satunya seluar jeans yang aku ada, terus ke bilik kacik. kacik tengah kalut dengan anaknya hafiy. tiba-tiba, handphone kacik berbunyi,"hello ma....... haa?? yeke?? innalillahi wainnalillahirojiun... din, abah dah meninggal, baru je.." kata kacik. kepala aku jadi kosong, blank! abah meninggal? biar betul. maknanya aku dah tak boleh bercakap dengan abah la, tak boleh naik kereta dengan abah la, tak boleh tengok bola dengan abah la.......... air mata ku tahan, sebagai anak lelaki tunggal aku perlu menjadi contoh yang baik untuk adik beradikku. ejah dah menangis teresak-esak. kacik menegurnya agar berhenti menangis. tak elok katanya.

aku, kacik, apih, hafiy dan ejah bertolak ke hospital dari rumah. disebabkan abah baru meninggal dunia, kami ke sekolah adik untuk membawanya ke hospital, melihat abah. sampai di sekolah, kacik dan ejah masuk ke kawasan sekolah mencari adik. 10 minit kemudian, kacik dan ejah berjalan menuju ke kereta manakala adik pula berlari menuju ke asramanya dalam keadaan menangis. adik melempar beg sekolahnya ke tepi jalan. aku pergi kutip. aku faham. adik masih terlalu muda untuk hadapi semua ini. dalam 4 minit, adik datang ke kereta dengan masih berbaju sekolah, menangis teresak-esak. aku sebak tapi masih mampu menahan air mata dari mengalir.

jam 1.00 tengahari

sampai di hospital, mencari parking. jumpa satu parking, sedang parking terlihat kakak bersama abe yus dan anak-anak yang kebetulan juga baru sampai. cukup kami lima beradik sampai serentak. berjalan menuju ke wad temenggung, di mana tempat abah dan mama berada. sampai sahaja di luar pintu wad, aku nampak mama sibuk bercakap telefon. maybe memberitahu perihal abah kepada adik beradik abah. mama nampak kitorang, mama lambai mengajak masuk. aku, kakak, kacik, ejah dan adik masuk dulu, tinggal abe yus dan apih di luar sebentar. sampai di katil abah, aku lihat abah sudah diselimut sehingga menutup mukanya. aku sedih. kacik selak selimut sebab nak tengok muka abah, tapi tak kesampaian sebab pihak hospital sudah mengkafankan abah buat sementara waktu. aku mencari toilet, tapi terjumpa pintu keluar menuju ke tangga. keluar sahaja, sambil menyandar di tangga, air mata aku mencurah-curah tumpah. aku tak dapat menahannya lagi. abah berada dalam kain kafan, sesuatu yang sangat sukar diterima. kacik datang menepuk-nepuk bahuku. aku tahu dia pun sedih tapi dia dah nangis di dalam kereta tadi. aku menangis tersedu-sedu. adik beradik aku yang lain maybe tak nampak sebab aku dah lari ke tangga ni, mama juga tak nampak.

jam 2.30 petang

jasad abah sudah boleh dibawa pulang ke rumah. aku menolak troli yang menampung jasad abah ke van jenazah. selesai menandantangani semua dokumen, bersama mama dan ejah, kami menaiki van jenazah pulang ke rumah. aku duduk di sebelah pemandu sebagai penunjuk jalan. kacik dan kakak balik ke rumah menaiki kenderaan masing-masing. sesekali aku menoleh ke belakang, melihat mata mama yang bergenang dengan air mata, sayu sekali hatiku. aku sangat sakit jika melihat orang tua ku menangis. ejah pula tidak henti-henti membaca surah yasin. sampai sahaja di rumah, aku bingkas turun dari van dan bersama 2, 3 orang lagi tetamu lelaki yang memang sudah ada di rumahku mengangkat jenazah abah. setelah meletakkan abah di satu sudut yang dikhaskan, adik dan ejah membaca yasin. aku agak malu kerana bacaanku tidak lancar..... (teruknya anakmu ini abah)

jam 4.30 petang

sesudah azan asar selesai berkumandang, jenazah abah mula dimandikan. aku sebagai anak lelaki tunggalnya bersama dengan abe yus (abang ipar) dan apih (adik ipar) bertindak menjadi orang yang meriba abah ketika proses mandikan jenazah abah. kami duduk berlunjur dengan kaki merentangi lubang yang dibuat khas supaya air mandian jenazah abah dapat mengalir terus ke bawah rumah. aku meriba bahagian kepala jenazah abah, abe yus bahagian tengah badan dan apih di bahagian kaki. tatkala pak imam menjirus air ke muka dan seluruh badan jenazah abah, aku lihat ada air bertakung di kelopak mata abah. otak lembabku berfikir sayu, "abah dah tak boleh usap mukanya sendiri dah".

aku mengosongkan fikiranku bagi mengelakkan kesedihan melanda diri, terus merata-ratakan air di seluruh muka, telinga, hidung, bibir abah. tiada rasa geli. tumpuanku hanya untuk membersihkan jenazah abah sebersih-bersihnya. mahu saja aku menangis ketika meriba kepala jenazah abah kerana melihatkan wajahnya yang tiada respon apabila disentuh-sentuh, juga apabila jenazah abah disenggengkan ke arah kanan di mana wajah jenazah abah betul-betul menghadap perutku. barulah aku sedar, aku tak pernah memeluk abah serapat itu. peluk pun jarang. kali terakhir mungkin ketika aku masih kecil. hampir menangis.....

tatkala kami sedang mengkafankan jenazah abah, mama datang memberitahu tok imam bahawa anak-anak ingin melihat abah untuk kali terakhir. tok imam membenarkan dengan membiarkan bahagian muka jenazah abah sahaja terbuka. aku tidak mampu menahan air mata bila mendengar ayat "melihat abah untuk kali terakhir"... aku masuk ke bilikku untuk menangis sepuas-puasnya. entah kenapa, air mata aku terlalu banyak kali ini. pakcik sahar datang menepuk-nepuk dan menggosok belakangku sebagai tanda memujuk. ketika aku sedang menangis, kakak, kacik, ejah dan adik mencium jenazah abah. aku keluar sedikit lambat kerana mengambil masa untuk mententeramkan diri sendiri. ketika aku hendak melangkah keluar bilik, pakcik sahar pesan, "masa cium abah nanti, jangan bagi jatuh air mata". aku mengangguk faham. aku mencium dahi abah lama. tak ingin lepas. inilah kali pertama dan terakhir aku mencium abah sejak aku mula baligh. aku tak ingat jika masa kecil aku selalu menciumnya. mama membawa paih (anak kepada kakak, cucu abah yang sulung kira-kira berumur 3 tahun) untuk mencium jenazah abah. katanya, "atuk tido" sambil mencium pipi jenazah abah. aku semakin sayu........

jam 5.30 petang

selesai solat jenazah, aku, abe yus, apih dan beberapa lagi lelaki budiman mengusung jenazah abah untuk dinaikkan ke lori. masa untuk pengkebumian jenazah abah sudah tiba. aku, abe yus dan pakcik sahar duduk di atas lori bagi menjaga jenazah abah, apih pula menbawa adik-adikku ke tanah perkuburan secara berasingan. sampai di tanah perkuburan, aku masuk ke dalam liang lahad bersama abe yus dan seorang orang lama (pakcik yang berpengalaman dalam hal-hal kematian). itulah first time aku duduk di dalam liang lahad. kami menyambut jenazah abah yang dikafankan lalu memasukkan abah ke dalam liang. dalam masa 15 minit, jenazah abah selesai dikebumikan. sedikit talkin dibaca untuk jenazah abah. aku sayu lagi.......

kira-kira 6.15 petang

pengkebumian selesai. baju dan seluar trek aku penuh dengan tanah. sampai di rumah, aku jumpa mama. mama cakap aku dah melaksanakan tanggungjawab sebagai anak lelaki dengan sempurna. bermula dari mengusung, memandikan, mengkafankan dan mengkebumikan jenazah abah. akan tetapi, aku still rasa kurang dan tidak sempurna.....

bagiku,
aku tidak mengusung jenazah abah dengan baik, sebaik sepertimana abah mendukung aku ketika kecil...
aku tidak memandikan jenazah abah dengan baik, sebaik sepertimana abah memandikan aku ketika kecil...
aku tidak mengkafankan jenazah abah dengan baik, sebaik sepertimana abah memakaikanku pakaian ketika kecil...
aku tidak mengkebumikan jenazah abah dengan baik, sebaik sepertimana abah mula-mula menyambut kehadirnku di dunia ini...

ijen sangat sayang abah......:'(

al-fatihah.....


Moral Of The Story - jasa ibu bapa sangat sukar untuk dibalas

Sunday, April 4, 2010

Something

..............


a defeat will make u stronger


..............

*sigh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails